Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu ambil inisiatif menyuarakan pada masyarakat dan pihak luar sekiranya memerlukan sumbangan bagi menampung keperluan.

Ketua Kluster Pendidikan & Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, sikap hanya menunggu dan berdiam tidak memungkinkan
bantuan seperti dana kewangan, 'datang bergolek'.

"Perlu aktif dan kreatif guna medium ada untuk beritahu pada masyarakat, dekati pihak atau syarikat swasta berpotensi menyumbang. Biasanya jika itu dilakukan barulah mereka
(penyumbang) akan sedia menyumbang.

"Tak kiralah sumbangan diperlukan bentuk kewangan, tenaga, peralatan dan sebagainya, bila tahu ada keperluan baru mereka akan beri (sumbangan)," katanya ketika mengulas berhubung keperluan dana tambahan dan sumbangan kepada pihak sekolah, selain peruntukan sedia ada telah diberikan kerajaan.


Landskap yang cantik menarik lebih ramai pelajar untuk berjemaah di surau.
Beliau tidak menafikan sikap segelintir masyarakat terlalu keberatan apabila hendak menyumbang kepada sekolah apa lagi berkait pendidikan, walaupun anak-anak dibantu itu sebenarnya bakal mencorakkan kehidupan masa depan.
Katanya, itu juga menunjukkan pemikiran masyarakat negara ini belum mencapai tahap seperti di negara barat yang kebanyakan adalah sebaliknya.

"Tapi di negara seperti Thailand dan Singapura, mereka amat positif mengenai keperluan ini. Di Thailand misalnya, penglibatan ibu bapa di sekolah amat banyak. Kedatangan kami ke sekolah di sana juga disambut ibu bapa.

"Di Singapura pula contohnya, ibu bapa kanak-kanak di sana banyak beri bantuan dari segi tenaga untuk mengajar bagi membantu guru semasa di kelas. Berbeza di sini, pendekatan sedemikian sukar dapat dilihat," katanya.

Zakaria

Dalam pada itu, menurutnya pihak sekolah boleh menggunakan sumber setempat dan memanfaatkan media sosial dalam memohon dan menyuarakan keperluan mereka.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) memberikan contoh, kaedah wakaf banyak membantu masyarakat menyumbang seperti dilakukan di universitinya.

Wakaf tunai

"Tagline ‘wakaf’ dan ‘saham akhirat’ lebih menarik minat orang Islam menyumbang kepada dana sekolah" kata Penolong Pengarah, Unit Dakwah, Sektor Dakwah dan Kepimpinan, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM), Alhuzaee Sulaiman.

Memberikan contoh, menurutnya surau sekolah indah, ceria dan berinformasi menarik minat pelbagai pihak hadir beribadah.

Namun disebabkan kekangan kewangan, kadangkala ia tidak dapat diurus baik.

Pernahkah kita terfikir menderma secara sukarela kepada tabung surau sekolah agar sesuatu bermanfaat dapat dijalankan demi kebaikan anak-anak kita?

Alhuzee
Alhuzaee berkata, terdapat sekolah berjaya mengumpul sumbangan melalui idea kreatif tanpa bermodal besar.

“Di bawah jawatankuasa surau sebuah sekolah menengah di Kurau, Perak misalnya, mereka berjaya menggerakkan tabung sumbangan hanya 10 sen pada tiap Jumaat daripada setiap pelajar.

"Jika terdapat 800 pelajar, jadi setiap minggu RM80 dapat dikumpul. Kalau empat minggu, sudah RM320 terkumpul. Itu jika sekolah kecil, jika sekolah lebih besar, senang-senang sahaja dapat sumbangan lebih daripada itu,” katanya.

Menurutnya bagi pelaksanaan kaedah sedemikian, konsep infak untuk ‘tabung akhirat’ (pahala) diterapkan kalangan pelajar.

Tambahan nilai kecil 10 sen tidak begitu dirasai, namun jadi besar apabila dikumpulkan secara beramai-ramai.

Katanya, usaha itu juga untuk mendidik pelajar membuang sifat bakhil.

Koperasi mampu bantu dana sekolah.
Menurutnya, program wakaf juga sangat membantu pembangunan fizikal dan keceriaan sekolah. Peluang mewakafkan wang tunai perlu dibuka agar seluruh warga sekolah serta ibu
bapa mewakafkan harta di jalan ALLAH.

Alhuzaee memberikan contoh, surau di sekolah yang indah memberi impak baik kepada penghayatan Islam, penurunan kes salah laku dan peningkatan akademik dapat dilihat
melalui melalui pembentangan pihak pentadbiran sekolah semasa pertandingan surau dilaksanakan.

"Pengurusan kewangan cekap dan telus juga mampu menarik orang ramai menyumbang ke tabung surau sekali gus manambah dana surau sekolah," katanya.

TIP KUMPUL DANA SEKOLAH

1. Guna laman sosial seperti Facebook, WhatsApp, Frog VLE, Twitter, Instagram dan Sync sebagai medium suarakan permohonan bantuan yang diperlukan oleh pihak sekolah.

2. Karnival Fundathon

3. Sumbangan PIBG

4. Jogathon amal

5. Kad Derma Jogathon

6. Program kitar semula

7. Hari kantin

8. Koperasi sekolah

9. Jualan amal seperti pakaian, buku dan barangan

10. Sumbangan pihak swasta/individu

11. Sumbangan alumni

12. Surat permohonan sumbangan

13. Majlis amal makan malam

14. Sumbangan penaja program

15. Tabung sekolah

16. Sertai pelbagai pertandingan