Keperluan anak anak
July 27, 2018PENCAPAIAN AKADEMIK ANAK ANDA MASIH BELUM MEMUASKAN?
PENUHI 5 PERKARA INI DAHULU SEBELUM MEMAKSA ANAK-ANAK BERJAYA DALAM AKADEMIK
Situasi:-
Faiz berusia 9 tahun. Setiap hari dia bangun seawal jam 5.30pg untuk bersiap-siap ke sekolah dan terpacak dihadapan rumah menunggu van yang akan datang mengambilnya tepat pukul 6 pagi.
Selepas selesai sesi persekolahan pagi, Faiz akan bergegas pulang ke rumah, makan dan mandi. Kemudian bersiap-siap pula untuk ke sekolah di sesi petang.
Selepas selesai persekolahan sesi petang, Faiz sempat menonton televisyen sebentar sebelum bersiap-siap pula untuk ke kelas tuisyen yang bermula jam 8 pm sehingga 9 pm.
Berbaki 1 jam sebelum tidur, Faiz melakukan persiapan persekolahan untuk keesokan harinya.
Pada hujung minggu pula, Faiz perlu menghadiri kelas tambahan dan pada musim cuti sekolah pula, Faiz dihantar ke kelas tambahan intensif dan program motivasi akademik.
Ibubapa Faiz amat bimbang tentang prestasi akademik Faiz memandangkan Faiz masih lagi kurang cemerlang dalam beberapa subjek walaupun telah dihantar ke kelas-kelas tuisyen
Tahukah anda? Pada umur 9 tahun, secara idealnya, Faiz memerlukan 10-11 jam tempoh tidur di waktu malam. Dengan menganggarkan Faiz tidur pada jam 10mlm dan perlu bangun pada jam 5.30pg, dia hanya mempunyai waktu tidur selama 7.5jam sahaja. Dan hal ini berlaku hampir setiap hari
Faiz tidak mendapat waktu tidur dan waktu rehat yang cukup, dia tidak mendapat waktu yang cukup untuk melakukan aktiviti fizikal dan dia juga tidak mempunyai waktu bersama keluarga yang cukup.
Jadi tidak hairanlah Faiz kurang cemerlang dalam akademik kerana otak nya sudah terlalu penat untuk menerima pelajaran dan tidak mendapat waktu yang cukup untuk memproses segala pelajaran yang telah diterima sepanjang hari
Dalam kes Faiz ini, persoalannya bukan lagi tentang kaedah pembelajaran atau kualiti kelas tuisyen/ kelas tambahan yang yang diterima oleh nya tetapi kerana Faiz tidak mendapat keperluan asas yang mencukupi.
Berilah teknik belajar yang macam mana sekalipun, dia tetap tidak boleh terima dengan baik kerana mental dan tubuhnya sudah terlalu penat dengan jadual harian yang sangat padat.
Tahap motivasi seseorang individu itu bergantung kepada beberapa siri keperluan asas.
Menurut carta piramid keperluan kanak-kanak Maslow's (Maslow's Hierarchy of Children's Needs), keperluan asas yang diperlukan oleh kanak-kanak adalah;
+ self actualisation
+ esteem (nilai peribadi / harga diri)
+ love & belonging (rasa disayangi & dipunyai)
+ safety (rasa dilindungi)
+ physiology (fisiologi)
*mengikut susunan piramid dari bawah ke atas (rujuk gambar piramid)
1. KEPERLUAN FISIOLOGI
Sebagai ibubapa, kita selalu terlepas pandang akan keperluan ini, sedangkan ini merupakan keperluan yang paling penting bagi kanak-kanak, iaitu keperluan makan dan tidur.
Kurangnya makan dan tidur akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kesukaran untuk mencapai keperluan-keperluan yang lain seperti kemahiran sosial, menyelesaikan tugasan harian dan menumpukan perhatian dalam pelajaran.
Bayangkan kita orang dewasa, apa yang kita rasa sewaktu kita lapar dan letih? Kita akan rasa seperti nak marah, lemah, susah nak focus. kan?
Begitu juga kanak-kanak, jadi kita faham kenapa kanak-kanak akan 'cranky' bila keperluan-keperluan ini tidak dipenuhi.
Kita yang dewasa , yang boleh berfikir dan faham tentang etika sosial pun sangat sukar untuk mengekalkan sikap yang baik walaupun dalam keadaan letih dan lapar, apatah lagi kanak-kanak
2. KEPERLUAN UNTUK RASA SELAMAT
Secara umumnya , keperluan rasa selamat yang kita faham adalah melindungi meraka daripada orang jahat atau sebarang kecederaan.
Tetapi hakikatnya, kanak-kanak memerlukan ibubapa untuk sentiasa berasa dekat dengan mereka, secara fizikal dan emosi, barulah mereka benar-benar rasa selamat.
Anak-anak merasa lebih selamat jika ibubapa bersikap tegas dan mementingkan disiplin kerana mereka yakin ibubapa seperti ini akan selalu memantau mereka dan memperbetulkan jika mereka melakukan sesuatu yang salah atau di luar batas.
Sempadan yang ibubapa bina melalui disiplin membuatkan anak-anak lebih yakin untuk meneroka dunia luar. Tetapi, disiplin yang dimaksudkan haruslah disiplin yang membina, bukan menghukum
3. KEPERLUAN UNTUK RASA DISAYANGI
Merasa disayangi adalah amat penting dalam hidup kanak-kanak. Tanpa kasih sayang yang cukup, jiwa mereka menjadi lemah . Situasi ini akan membuatkan mereka lebih mudah jatuh sakit dan sukar untuk menerima pelajaran yang disampaikan.
Apabila anak-anak semakin membesar, ruang lingkup untuk rasa disayangi itu mungkin akan berubah dari ingin disayangi oleh ibubapa kepada ingin disayangi oleh rakan-rakan, guru, dan pasangan. Namun, walau dari siapa pun, keperluan ini masih sama dan masih diperlukan.
Sebagai ibubapa, kita perlu memberikan sokongan emosi kepada anak-anak secara berterusan, mengikut tahap keperluan mereka. Bukan menghentikan sokongan emosi apabila mereka semakin membesar dan menganggap mengurangkan kasih sayang sebagai 'sebahagian daripada proses membesar'.
Dalam proses mereka untuk membesar, anak-anak akan menghadapi pelbagai pengalaman hidup yang mencabar emosi mereka, contohnya situasi seperti pindah sekolah, pindah rumah, kehilangan kawan, kegagalan dan kekalahan dalam sesuatu pertandingan, perubahan fizikal & emosi ketika remaja dan sebagainya.
Mungkin sebagai seorang dewasa, kita menganggap hal ini sebagai perkara yang remeh, nak dibandingkan dengan cabaran yang kita lalui setiap hari. Tetapi bagi kanak-kanak, hal seperti ini merupakan masalah yang amat besar bagi mereka.
Kadangkala ibubapa tidak mengambil berat kesan emosi yang berlaku kepada anak-anak kita. Sebagai contoh, apabila anak kita terpaksa berpindah sekolah, kita rasa tidak penting pun untuk anak kita mengucapkan 'selamat tinggal' kepada kawan-kawan mereka, terutamanya anak-anak prasekolah atau ketika mereka masih 'terlalu kecil untuk ingat semuanya', tetapi bagi mereka , keadaan ini merupakan suatu kehilangan yang besar.
Mereka terlalu muda untuk memahami mengapa adanya pertemuan dan perpisahan. Jadi penting bagi ibubapa untuk merasa empati dan memujuk anak-anak dengan penuh rasa kasih sayang, bukan merendah-rendahkan kesedihan mereka itu.
4. KEPERLUAN NILAI PERIBADI/ HARGA DIRI (esteem)
Keperluan nilai peribadi/rasa dihargai ada 2 iaitu nilai peribadi luaran (keperluan untuk diterima dan dihargai oleh orang lain) dan nilai peribadi dalaman (keyakinan dalaman dan suka keperibadian sendiri).
Walaupun kita sering diingatkan untuk tidak terlalu terikat dengan penghargaan dari orang lain, namun hakikatnya jiwa manusia mencari dan memerlukan perkara tersebut.
Bagi kanak-kanak, keperluan untuk rasa dihargai akan tergugat apabila mereka dibuli, didiskriminasi atau disisihkan. Mereka terpaksa berjuang/bergelut dengan perasaan mereka sendiri untuk mendapatkan keyakinan diri dan seterusnya mencapai self actualisation.
Nilai peribadi/rasa dihargai kanak-kanak juga boleh terbantut dengan tindakan ibubapa yang suka memaksa anak mereka untuk menurut segala apa yang telah diaturkan untuk mereka. Sebagai contoh, dari segi pemilihan kursus akademik, minat dan kerjaya -yang mana ibubapa ingat itu suatu tindakan yang bagus- tetapi hakikatnya hanyalah mengganggu anak mereka dalam membentuk nilai peribadi dan keyakinan diri sendiri.
5. SELF ACTUALISATION
'Self actualisation' adalah kecenderungan seseorang untuk mengembangkan bakat, kecerdasan, ketangkasan dan kapasiti sendiri. Ini merupakan tahap tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang individu.
Pada tahap ini, kanak-kanak sudah berjaya memahami diri mereka dengan baik sekali dan sudah bersedia untuk menerima sistem pembelajaran, pencapaian dan kejayaan. Apabila kanak-kanak sudah mencapai tahap ini, mereka lebih mudah untuk membina sikap positif dalam diri dari sudut akademik mahupun kemahiran sosial.
…………………………………………………………
Berbalik kepada situasi Faiz tadi, kurang cemerlang Faiz dalam akademiknya adalah kerana keperluannya yang tidak dipenuhi dengan baik. Kesannya, potensi dirinya tidak dapat digunakan sepenuhnya.
Dengan mengetahui keperluan-keperluan kanak-kanak ini, ibubapa boleh mengenalpasti anak-anak sedang mengalami kesukaran di tahap yang mana dan ibubapa boleh membantu anak-anak tersebut dalam memenuhi keperluan-keperluan yang sepatutnya.
Keperluan-keperluan ini perlu dipenuhi sejak dari kecil lagi dan berterusan sehingga mereka dewasa. Dan cara untuk memenuhinya berbeza mengikut tahap umur seseorang kanak-kanak/individu itu.
Pendidikan kanak-kanak bukan sekadar unuk membentuk minda dan fikiran mereka sahaja. Ia melibatkan hubungan antara jasad, minda dan jiwa yang boleh berfungsi dengan baik juga. Jadi, untuk mencapai potensi kanak-kanak yang maksima, perlulah dibina dari dalam keseluruhan diri kanak-kanak tersebut, iaitu secara fizikal, mental dan emosi
p/s: Situasi di atas adalah rekaan bagi mengambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan majoriti kanak-kanak
sumber;
1. Buku "Brainchild- secrets to unlocking your child's potential" by Dr Shen-Li Lee (MPH Publishing 2016)
-Che Siti