QUNUT NAZILAH
March 17, 2020
SERUAN MEMBACA QUNUT NAZILAH SETIAP KALI SOLAT
Saya menyeru seluruh umat Islam supaya membaca Doa Qunut Nazilah setiap kali solat bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya diselamatkan daripada wabak Covid-19.
Semoga Allah melindungi seluruh rakyat Malaysia dan suasana kembali pulih.
Ya
Allah, kami memohon bantuan-Mu, meminta keampunan-Mu, mengharap petunjuk-Mu,
kami beriman kepada-Mu dan bertawakkal kepada-Mu, memuji-Mu, bersyukur dan
tidak mengingkari atas semua kebaikan-Mu, dan kami menarik diri serta
meninggalkan mereka yang menderhakai-Mu.
Ya Allah, hanya Kau yang kami sembah, hanya kepada-Mu kami hadapkan solat ini dan bersujud, hanya kepada-Mu kami berjalan dan berlari. Kami mengaharapkan rahmat-Mu. Kami takut pada siksa-Mu karena siksa-Mu yang keras itu akan menimpa orang-orang kafir.
Ya Allah peliharalah kami dan seluruh orang muslim, Selamatkanlah kami semua daripada keburukan dan perkara-perkara yang membimbangkan kami semua, dan peliharalah kami dari segala bencana, wabak dan peliharalah kami dari keburukan dan kekejaman orang yang zalim. Sembuhkanlah dan selamatkanlah kami daripada keburukan yang menimpa kami.
Ya Allah, hilangkanlah dan hindarilah kami dari segala wabak, kemarau, sara hidup yang tinggi, serta segala bentuk bala sekalipun daripada kami..
Hanya Rahmat-Mu kami berharap..
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
AMALAN DAN DOA MOHON DIHINDARIRI DARI KESEMBUHAN DARI PENYAKIT YANG BERPUNCADARI APA JUA WABAK DAN VIRUS
DOAMENGHINDARI KECELAKAAN/KEBAKARAN
Soalan
Apakah hukum membaca qunut Nazilah ketika orang Islam ditimpa musibah?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam menjawab persoalan terdapat kisah yang tertulis di dalam sirah Rasulullah SAW, bahawa Baginda SAW pernah membaca doa qunut nazilah ketika mana berlakunya suatu pengkhianatan dan pembunuhan ke atas beberapa sahabat Nabi SAW. Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kejadian tersebut, antaranya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa:
أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ.
Maksudnya: Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.
Riwayat al-Bukhari (4090)
Selain itu, Abu Hurairah R.A, berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ قَنَتَ اللَّهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ اللَّهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ
Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila berkata “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” pada raka’at terakhir ketika solat ‘Isya’, beliau membaca qunut “Ya Allah selamatkanlah ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah, Ya Allah selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Ya Allah selamatkanlah Salamah bin Hisyam, Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman, Ya Allah keraskanlah ‘azab-Mu ke atas Mudhar, Ya Allah jadikanlah (‘azab-Mu) ke atas mereka dalam bentuk musim kemarau yang panjang sepertimana musim kemarau zaman Nabi Yusuf AS”.
Riwayat al-Bukhari (6393)
Berdasarkan hadis-hadis di atas, Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi mazhab al-Syafie adalah:
ان نزلت بالمسملين نَازِلَةٌ كَخَوْفٍ أَوْ قَحْطٍ أَوْ وَبَاءٍ أَوْ جَرَادٍ أَوْ نَحْوِ ذَلِكَ قَنَتُوا فِي جَمِيعِهَا وَإِلَّا فَلَا
Maksudnya: Sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut”. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475)
Selain itu, Imam al-Syafi’ie di dalam kitab al-Umm menyatakan bahawa sekiranya ditimpa musibah boleh membaca qunut Nazilah pada waktu yang dilarang membaca qunut. Ini berdasarkan pendapat beliau:
وَلاَ قُنُوتَ فِي صَلاَةِ الْعِيدَيْنِ وَلاَ الِاسْتِسْقَاءِ , وَإِنْ قَنَتَ عِنْدَ نَازِلَةٍ لَمْ أَكْرَهْ
Maksudnya: Tidak ada qunut ketika solat dua hari raya dan solat Istisqa’. Sekiranya membaca qunut ketika musibah, aku tidak memakruhkan. (Lihat kitab al-Umm, 2/510)
Antara Keadaan yang Dibacakan Qunut Nazilah
Menurut Mulla Ali al-Qari, diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar membaca qunut ketika memerangi Musailamah al-Kazzab dan ketika memerangi ahli kitab. Lihat Mirqat al-Mafatih (4/417).
Dinyatakan bahawa Saidina Umar RA, ketika memerangi orang nasrani membaca doa qunut nazilah di dalam solatnya:
" اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَعِينُكَ وَنَسْتَغْفِرُكَ وَنُثْنِي عَلَيْكَ وَلا نَكْفُرُكَ ، وَنُؤْمِنُ بِكَ وَنَخْلَعُ وَنَتْرُكُ مَنْ يَفْجُرُكَ ، اللَّهُمَّ إِيَّاكَ نَعْبُدُ ، وَلَكَ نُصَلِّي وَنَسْجُدُ ، وَإِلَيْكَ نَسْعَى وَنَحْفِدُ ، وَنَرْجُو رَحْمَتَكَ وَنَخَافُ عَذَابَكَ إِنَّ عَذَابَكَ بِالْكُفَّارِ مُلْحَقٌ ، اللَّهُمَّ عَذِّبِ الْكَفَرَةَ ، وَأَلْقِ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ ، وَخَالِفْ بَيْنَ كَلِمِهِمْ ، وَأَنْزِلْ عَلَيْهِمْ رِجْسَكَ وَعَذَابَكَ ، اللَّهُمَّ عَذِّبْ كَفَرَةَ أَهْلِ الْكِتَابِ الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِكِ وَيُكَذِّبُونَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُونَ أَوْلِيَاءَكَ ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ، وَالْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ، وَاجْعَلْ فِي قُلُوبِهِمُ الإِيمَانَ وَالْحِكْمَةَ ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُولِكَ ، وَأَوْزِعْهُمْ أَنْ يُوفُوا بِعَهْدِكَ الَّذِي عَاهَدْتَهُمْ عَلَيْهِ ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ ، إِلَهَ الْحَقِّ وَاجْعَلْنَا مِنْهُمْ
Maksudnya: “Ya Allah kami memohon darimu pertolongan dan keampunan, kami memujimu dan tidak sesekali kami mengkufurimu, dan kami beriman kepadamu, kami menjauhi dan meninggalkan mereka yang menderhakaimu, wahai tuhan yang kami sembah,dan kepadamu kami menunaikan solat dan bersujud, dan kepadamu kami menuju, dan kami mengharapkan rahmatMu, dan kami sangat takut akan azabMu, Sesungguhnya azabMu untuk mereka yang mengkufurimu,Ya Allah azabkanlah orang kafir, dan letakkanlah di hati mereka ketakutan, dan berbalikkanlah kesatuan mereka, dan turunkanlah laknat dan azab darimu, Ya Allah azabkanlah orang kafir dari ahli kitab yang menghalang jalanMu dan tidak membenarkan Rasaul-rasulmu dan membunuh para auliya’Mu, Ya Allah ampunkanlah orang-orang mukmin, dan orang-orang Islam, dan perelokkan serta satukan kesatuan mereka, dan letakkanlah di hati mereka iman dan hikmah,dan kekalkan mereka di atas agama rasulMu, dan ilhamkan mereka untuk setia dengan janjiMu yang telah engkau janjikan, dan bantulah mereka dalam menghadapi musuhmu dan musuh mereka, Wahai tuhan yang benar, jadikanlah kami dari golongan yang engkau bantu”. Lihat Futuhat Rabbaniyah (3/301).
Kesimpulan
Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpendapat bahawa membaca qunut nazilah ketika umat Islam ditimpa musibah besar yang boleh memudaratkan Islam dan Umat Islam secara keseluruhan seperti diperangi secara nyata atau dikhianati musuh, adalah diharuskan. Sebagai contoh dalam konteks hari ini, dapat dilihat ketika mana Gaza dan Syria dilanda peperangan, imam Masjid al-Haram membaca qunut nazilah mendoakan kemenangan ke atas orang Islam di sana sekaligus mendoakan kehancuran serta memohon kepada Allah diturunkan bala bencana ke atas orang kafir yang memerangi orang Islam.
Kami juga berpendapat, sewajarnya umat Islam memperbanyakkan istighfar, taubat, sedekah,dan ketaatan kepada Allah. Ini kerana ia akan menyelesaikan banyak kemelut yang dihadapi oleh ummah. Benarlah firman Allah SWT,
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا
Maksudnya: "Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu”
(Surah Nuh ayat ke: 10-11)
Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala suruhan-Nya. Amin.
TAZKIRAH USTAZ EBIT LEW