selawat ketika lupa
March 19, 2020
Soalan: Apakah terdapat dalil berkaitan anjuran berselawat ketika lupa?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Setiap insan atau manusia tidak boleh lari daripada sifat lupa ini dan sifat lupa ini menunjukkan bahawa insan ini mempunyai kekurangan. Untuk itu, Allah SWT tidak sesekali bersifat dengan sifat ini kerana ia tidak layak bagi Allah SWT. Ini dinyatakan di dalam firman-Nya melalui ucapan Nabi Musa AS:
قَالَ عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي فِي كِتَابٍ ۖ لَّا يَضِلُّ رَبِّي وَلَا يَنسَى
al-Thaha:52
Maksudnya: “Nabi Musa berkata: Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhan-ku yang tertulis di dalam sebuah kitab. Tuhanku tidak pernah keliru (tersilap) dan Dia juga tidak pernah lupa.”
Para ulama’ berselisih pendapat dalam menafsirkan ayat di atas iaitu “لَّا يَضِلُّ رَبِّي وَلَا يَنسَى” dengan beberapa pendapat. Antaranya adalah Nabi Musa AS memulakan percakapannya dengan menyucikan Allah SWT daripada dua sifat ini (iaitu sifat tersilap dan lupa). [Lihat: Fath al-Qadir, 436/3]
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا نَسِيْتُمْ شَيْئًا فَصَلُّوْا عَلَيَّ تَذْكُرُوْهُ إِنْ شَاءَ اللهُ تَعَالَى
Maksudnya: “Apabila kamu lupa akan sesuatu, maka berselawatlah ke atasku nescaya kamu akan ingatkan akan ia insya-Allah.”
Melihat kepada hadith di atas, di sini kami sertakan beberapa pendapat para ulama’ di dalam kitab-kitab mereka dalam membahaskan perkara ini:
Di dalam kitab Jala’ al-Afham pada tempat ke-32 pada menyatakan tempat-tempat dianjurkan berselawat ke atas Nabi SAW adalah ketika terlupa sesuatu atau ingin mengingatkannya kembali. [Lihat: Jala’ al-Afham, 429/1] Di samping itu, penulis juga mendatangkan hadith Anas bin Malik di atas.
Berkata Imam al-Sakhawi (902 H) di dalam kitabnya bahawa selawat ke atas Nabi SAW bagi sesiapa yang lupa dan ingin mengingatnya kembali ataupun kepada sesiapa yang takut dia terlupa ada dinyatakan berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA (riwayat di atas). Riwayat ini telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madiniy dengan sanad yang dhaif (lemah). [Lihat: al-Qaul al-Badi’, 227/1]
Berkata al-Qasthalani (923 H) di dalam kitabnya bahawa antara tempat yang disyariatkan untuk berselawat ke atas Nabi SAW antaranya adalah ketika lupa akan sesuatu. [Lihat: al-Mawahib al-Ladunniyah, 672/2] Penulis juga mendatangkan riwayat Anas bin Malik RA pada bab ini.
Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami (974 H) di dalam kitabnya pada fasal keenam pada menyatakan perkara-perkara khusus yang disyariatkan berselawat ke atas Nabi SAW padanya. Antaranya adalah ketika mengingatkan sesuatu yang terlupa atau ketika takut terlupa. [Lihat: al-Dhur al-Mandhud, 238/1]
- Telah datang dengan sanad yang dhaif:
إِذَا نَسِيْتُمْ شَيْئًا فَصَلُّوْا عَلَيَّ تَذْكُرُوْهُ إِنْ شَاءَ اللهُ تَعَالَى
Maksudnya: “Apabila kamu lupa akan sesuatu, maka berselawatlah ke atasku nescaya kamu akan ingatkan akan ia insya-Allah.”
- Telah datang dengan sanad yang dhaif mursal:
مَنْ أَرَادَ أَنْ يُحَدِّثَ بِحَدِيْثٍ فَنَسِيَهُ فَلْيُصَلِّ عَلَيَّ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin meriwayatkan sebuah hadith lalu dia terlupa akan hadith tersebut, maka berselawatlah ke atasku.”
- Telah datang dengan sanad yang terputus daripada Abu Hurairah RA:
مَنْ خَافَ عَلَى نَفْسِهِ النِّسْيَانَ فَلْيُكْثِرِ الصَّلَاة عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang takut ke atas dirinya kelupaan maka perbanyakkanlah berselawat ke atas Nabi SAW.”
Berdasarkan beberapa pendapat para ulama’ di atas, maka kami simpulkan bahawa berselawat ke atas Nabi SAW apabila terlupa adalah dianjurkan walaupun sanad hadith berkaitan dhaif dan ia termasuk di dalam fadhail al-A’mal. Ini terbukti dengan kenyataan daripada Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Imam al-Sakhawi, Imam al-Qusthalani dan juga Imam Ibn Hajar al-Haitami.
Tambahan pula, di dalam al-Quran terdapat sebuah ayat yang menuntut agar kita berzikir atau ingat kepada Allah SWT apabila kita terlupa. Firman Allah SWT:
وَاذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ
al-Kahfi:24
Maksudnya: “Dan ingatlah (sebutlah) kepada Tuhanmu apabila kamu terlupa.”
Kata Imam Ibn Kathir (774 H) ketika menafsirkan ayat ini, sifat lupa boleh terjadi apabila seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang berdosa sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Dhahhak bin Muzahim. Maka dengan sebab itu, Allah SWT memerintahkan supaya mengingati-Nya agar dijauhkan syaitan daripada hatinya sebagaimana larinya syaitan apabila mendengar azan. Selain itu, setiap kebaikan itu akan menghilangkan kejahatan. Apabila hilangnya sebab seseorang itu lupa maka hilanglah ia dan dengan sebab itu akan mengingati sesuatu perkara itu disebabkan zikir atau ingatan kepada Allah SWT. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 76/1]
Melalui kenyataan atau penafsiran Imam Ibn Kathir ini maka kita dituntut apabila terlupa akan sesuatu agar memperbanyakkan berzikir atau mengingati Allah SWT kerana berkemungkinan sebab atau punca yang menyebabkan kita lupa adalah disebabkan dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari. Dengan berzikir atau mengingati Allah SWT akan menghilangkan segala gangguan syaitan terhadap kita. Imam al-Qurthubi (671 H) di dalam tafsirnya juga ada menyebut bahawa ayat di atas terdapat padanya tuntutan agar berzikir apabila terlupa. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 385/10]
Penutup
Kesimpulannya, anjuran berselawat apabila terlupa ada dinukilkan oleh para ulama’ terdahulu berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA. Di samping itu juga, kita juga dituntut agar memperbanyakkan berzikir apabila sering terlupa, Ini kerana, sifat lupa ini adalah sifat kekurangan dan ia tidak boleh dipisahkan daripada diri seorang insan. Akhirnya, marilah sama-sama kita memperbanyakkan berzikir dan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW kerana sudah pasti padanya terdapat banyak kelebihan kerana perintah tersebut terdapat di dalam al-Quran dan juga banyak hadith Nabi SAW. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua ilmu yang bermanfaat serta kekuatan agar ia boleh diamalkan dan juga disampaikan kepada orang lain. Amin.
Wallahua’lam