My Muhasabah Diary.
to Share my Life Reflections

SELAWAT - Tafrijiyyah / Nariyah / Kamilah 2019 HD



Marilah kita berdoa kepada Allah SWT dengan berkat Nabi Muhammad SAW supaya terlepas segala ikatan, lenyap segala kesedihan, terpenuhi segala keperluan, tercapai segala kesenangan dan mendapat pengakhiran yang baik (husnul khatimah) juga agar diturunkan hujan, adalah bertawassul kepada baginda dan bertawassul sebegini dibenarkan syarak kerana meminta kepada Allah, dengan berkat, Nabi Muhammad SAW yang sangat hampir dan dekat kepada Allah. Fahamilah sebaik-baiknya perkara ini….



DOWNLOAD dan dapatkan risalahdari Jabatan Agama Islam Negeri Johor
https://jainj.johor.gov.my/lain2info/SELAWATKAMILAH.pdf

Saksikan perhimpunan SekolahAgama Johor






Berselawat ke atas Nabi SAW adalah antara amalan yang paling afdhal dan mengandungi ganjaran yang sangat besar. Ia juga merupakan satu wasilah (jalan) untuk lebih dekat dan dikasihi Rasulullah SAW. Antara selawat yang masyhur diamalkan ialah Selawat Thibb dan Selawat Tafrijiyyah. Walau bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan mengamalkan membaca Selawat Thibb dan Selawat Tafrijiyyah adalah bid’ah dholalah, malah keduanya mengandungi unsur syirik. Pernyataan ini ternyata sangat jauh daripada kebenaran (haq).
Kelebihan Berselawat.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali selawat, maka Allah akan menurunkan sepuluh rahmat kepadanya dan menghapus sepuluh kesalahannya” (Riwayat an-Nasa’i). Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Sesiapa yang berselawat ke atasku sehari sebanyak seratus kali, maka Allah akan memenuhi seratus hajatnya, 70 di antaranya nanti di akhirat dan 30 di dunia” (Lihat Jam al-Jawami’, m/s 796). Al-Arif Billah, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani telah menulis tentang fadhilat selawat dan jenis-jenis selawat dalam kitabnya Afdhal ash-Shalawat ‘ala Sayyid as-Sadat.
Dalam beberapa ayat Allah SWT memerintahkan menghormati Rasulullah. Allah sendiri memuji budi pekerti Rasulullah SAW. Sesiapa yang selalu memuji dan mengagungkan baginda termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman, yang cinta dan mengharapkan redha Allah dan Rasul-Nya serta termasuk orang ahli takwa.Antara ayat-ayat tersebut seperti dalam Surah al-A’raf : 157, Surah al-Hajj : 30, 32, Surah al-Hujurat : 4, Al-Ahzab : 21, 56, al-Qalam : 4, Al-Fath : 8-9, At-Taubah : 128 dan beberapa surah yang lain.
Perspektif Terhadap Selawat Thibb Dan Tafrijiyyah.
Selawat Thibb dan Selawat Tafrijiyyah adalah selawat yang dikarang oleh para ulama’ yang soleh, melalui ilham dan kurniaan Allah kepada mereka. Walaupun kedua-dua selawat ini bukan daripada Nabi SAW, para ulama’ membolehkan mengamalkannya kerana kandungannya memuji Nabi dan mengagungkan baginda SAW. Allah SWT menyuruh kita memuji dan mengagungkan baginda.
Jika dikatakan bid’ah dholalah kerana ia tidak pernah disebut atau disuruh oleh Nabi, para ulama’ mengatakan apa-apa yang tidak pernah disebut atau disuruh oleh Nabi tidak semestinya bid’ah dholalah. Saidina Ali RA dan Ibnu Mas’ud pernah mencipta sendiri selawat ke atas Nabi, yang selawat itu tidak pernah diajar oleh Nabi. Begitulah juga para ulama’ selepas mereka yang mencipta selawat, yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi. Para ulama’ tidak mengharamkan perbuatan tersebut kerana mengikut panduan daripada perbuatan para Sahabat juga.
Jika dikatakan di dalam kedua-dua selawat tersebut ada pujian yang melampau Rasulullah SAW itu sebagai “penolong”, “pembuka”, “penyembuh”, “pemberi hajat” dan lain-lain yang dianggap sebagai “mengambil” sifat Tuhan, ia dijawab, haruslah dahulu difahami dan diakui bahawa banyak kali Allah SWT yang menyifatkan Rasulullah SAW seolah-olah seperti sifat yang dimiliki oleh Allah juga umpamanya Halim, Karim, Ra’ufur Rahim dan sebagainya.
Sifat Allah SWT yang disifatkan kepada para Rasul ini mempunyai makna majazi (kiasan), manakala sifat yang ada pada Allah SWT adalah sifat yang hakiki (sebenarnya). Dalam riwayat disebutkan bahawa para Sahabat memohon hujan dengan tawassul kepada Abbas bin Abd al-Muttalib, ayah saudara Rasulullah SAW. Setelah bertawassul dengannya dan hujan turun, para Sahabat berebut-rebut menyentuh Abbas dan mengatakan, “Selamat atasmu wahai ‘penurun hujan’ untuk Haramain”.
Para Sahabat memahami dan mengetahui bahawa ‘penurun hujan’ sebenarnya adalah Allah SWT sedangkan Abbas RA adalah ‘penurun hujan’ secara kiasan. Tidak ada seorang pun daripada para Sahabat mengatakan bahawa itu ghuluw (melampau) dan boleh menjerumuskan orang kepada syirik.. Taammalu! Jadi, apa salahnya jika kita memuji dan mengagungkan baginda dengan sebutan ‘penolong’, ‘pengampun dosa’ dan sebagainya yang mana Allah sendiri telah memerintahkan kepada para Sahabat untuk datang kepada baginda agar baginda memohonkan ampun kepada Allah untuk para Sahabat (lihat Surah an-Nisa’).
Perkara tersebut masih dilakukan oleh Sahabat baginda setelah kewafatannya. Sudah tentu semua orang tahu bahawa bukan Rasulullah SAW yang boleh mengampunkan dosa para Sahabat, tetapi dengan perantaraan baginda, dosa para Sahabat diampunkan oleh Allah SWT. Itulah juga yang dimaksud oleh pengarang-pengarang kitab Burdah, Barzanji, Dhiba’ dan lain-lain yang ditulis oleh penyair dan ulama’ terkenal ini yang sebahagian besar isinya memuliakan, mengagungkan Allah SWT dan pesuruh-Nya, Rasulullah SAW serta kiasan sebagai ‘penolong’, ‘pengampun dosa’ dan sebagainya.
Peribadi serta kedudukan Rasulullah SAW adalah sangat tinggi sekali dan selayaknya dipuji dan diagung-agungkan dan ia bukanlah termasuk di dalam perbuatan ghuluw (melampau). Perintah selawat pada ayat 56, Surah al-Ahzab dan firman-firman-Nya yang lain menurut ulama’ tetap berlaku walaupun Rasulullah SAW sudah wafat.
Tuduhan Ke Atas Selawat Nariyyah.
Ada seorang tokoh agama dari negara Arab, daripada sebuah kumpulan yang mendakwa mengajak kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah berkata, “Selawat an-Nariyyah sangat terkenal dalam masyarakat dan ada yang meyakini bahawa orang yang membacanya sebanyak 4444 kali dengan niat menghilangkan kesusahan dan kepayahan atau berniat ditunaikan hajat, akan mendapat apa jua yang diniatkan. Ini merupakan pandangan yang keliru dan tidak ada dalilnya sama sekali. Tambahan lagi, jika kamu tahu isinya dan melihat adanya kesyirikan secara terang-terangan di dalamnya”.
Beliau berkata lagi, “Sesungguhnya akidah tauhid yang diseru oleh al-Quran dan diajar kepada kita oleh Rasulullah mewajibkan setiap Muslim meyakini bahawa hanya Allah yang berkuasa memberi ketenangan di dalam hati, menghilangkan segala kesusahan, memenuhi segala keperluan dan mengabulkan permintaan orang yang meminta kepada-Nya. Oleh itu, seorang Muslim tidak boleh berdoa selain kepada Allah untuk menghilangkan kesedihan atau menyembuhkan penyakitnya, walaupun yang dimintanya adalah malaikat atau nabi yang terdekat dengan Allah. Al-Quran mengingkari perbuatan berdoa kepada selain Allah, sama ada kepada para Rasul atau para wali…”
Untuk menjawab pernyataan ini, marilah meneliti beberapa perkara :
Adalah sangat benar bahawa seseorang tidak boleh berdoa kepada selain Allah untuk menghilangkan kesedihan atau menyembuhkan penyakitnya dan sebagainya. Walau bagaimanapun, di dalam Selawat an-Nariyyah tidak ada satu kalimah pun yang menunjukkan berdoa atau memohon kepada Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya doa dan permohonan tersebut adalah ditujukan hanya kepada Allah.
Berdoa kepada Allah SWT dengan berkat Nabi Muhammad SAW supaya terlepas segala ikatan, lenyap segala kesedihan, terpenuhi segala keperluan, tercapai segala kesenangan dan mendapat pengakhiran yang baik (husnul khatimah) juga agar diturunkan hujan, adalah bertawassul kepada baginda dan bertawassul sebegini dibenarkan syarak kerana meminta kepada Allah, dengan berkat, Nabi Muhammad SAW yang sangat hampir dan dekat kepada Allah. Fahamilah sebaik-baiknya perkara ini….
Sebab utama kenapa kumpulan yang mengatakan selawat ini tidak boleh diamal, lalu mengaitkan dengan adanya unsur syirik adalah kerana ia tidak berasal daripada Nabi. Kata mereka, apa-apa sahaja yang tidak berasal daripada Nabi SAW adalah bid’ah dholalah, mengamalkannya adalah sesat dan orang yang mengamalkannya adalah ahli bid’ah yang sesat. Ini adalah suatu kekeliruan yang sangat jauh daripada ilmu yang sebenar.
Para sahabat sendiri membolehkan mencipta atau menyusun selawat Nabi sendiri. Saidina Ali RA mencipta selawat Nabi sendiri seperti yang diriwayatkan oleh Salamah al-Kindi yang dinukil daripada kitab asy-Syifa’ karangan al-Qadhi ‘Iyadh. Malah, Saidina Ali mengagungkan Rasulullah SAW dengan gelaran ‘Al-Fatih’ (yang membuka segala kesusahan), yang dnilai syirik oleh kumpulan yang membid’ahkan menggunakannya. Saidina Abdullah bin Mas’ud RA juga mencipta selawat Nabi sendiri. Alim Quraisy, Imam asy-Syafi’i juga mempunyai selawat Nabi sendiri yang ditulis dalam kitabnya, ar-Risalah. Ibnu Qasim al-Ghazzi menulis selawat Imam asy-Syafi’i ini dalam kitabnya, Fath al-Qarib al-Mujib, kitab syarah kepada Matan Abi Syuja’.
Syeikh Yusuf an-Nabhani di dalam kitabnya Syawahid al-Haq menyebutkan banyak selawat yang dikarang sendiri dan diamalkan oleh para ulama’ agung dalam beristigahthah kepada Allah SWT seperti Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Hujjatul Islam Imam al-Ghazalli, Syeikh Abu Hasan asy-Syazili, Sayyidi Ali Wafa, Imam as-Subki, Imam ar-Ramli asy-Syafi”i dan ramai lagi. Jika para sahabat dan para ulama’ besar Ahlus Sunnah Wal Jama’ah mencipta dan beramal dengan selawat Nabi SAW yang dibuat sendiri, apakah perbuatan mereka dianggap sebagai bid’ah dholalah dan mereka tergolong dalam ahli bid’ah yang sesat?
Apa yang menghairankan kumpulan ini melabelkan bid’ah kepada sesiapa yang beramal dengan selawat Nabi yang dicipta sendiri, tetapi tidak pula melabelkan begitu kepada para ulama’ mereka yang menulis dan mencipta selawat yang bukan daripada Nabi. Sekadar mengambil beberapa contoh sahaja.
1 – Lajnah Fatwa Kerajaan Arab Saudi dalam Muqaddimah Dokumen fatwanya menulis :
اَلصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى مَنْ لَا نَبِيَّ بَعْدَهُ
2 – Syeikh al-Albani dalam Majmu’ Fatawanya menulis :
وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى الرَّسُولُ الْكَرِيمِ مُحَمَّدٍ بْنِ عَبْدِ اللهِ الصَّادِقُ الْاَمِينِ
3 – Syeikh Ibn Utsaimin meulis dalam Majmu’ Fatawa Ibn Baz :
وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى نَبِيِّنَا وَسَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْاَمِينِ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحَابَتِهِ أَجْمَعِينَ
Jelas, semua shighah (ucapan) ini tidak datang kepada Rasulullah sAW.
Kesimpulannya, jika dikatakan lebih afdhal beramal dengan selawat yang shighahnya datang daripada Rasulullah SAW sendiri, bukan yang dibuat daripada para Sahabat, mahupun para ulama’, kita katakan ia adalah amat tepat sekali. Walau bagaimanapun, kita juga mengatakan bahawa dengan selawat Nabi yang dicipta oleh para Sahabat mahupun para ulama’, bukanlah sesuatu yang sesat atau bid’ah dholalah, bahkan ia adalah antara jalan untuk lebih dekat kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah SAw. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman yang tahqiq (benar). Amiin.
Dinaqal daripada Majalah Q&A, isu no. 13, m/s 58-59 dan isu no. 15, m/s 7-8, oleh Ustaz Muhadir Haji Joll, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.
cikguhairulpelangi 9w2cbp cikguhairulpelangi 9w2cbp Author

Mesej

Abu Ad Darda lalu berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melalui jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahnya jalan ke syurga. Sungguh, para Malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredhaan kepada penuntut ilmu. Penduduk langit dan bumi hingga ikan yang ada di dasar laut akan mendoakan keampunan kepada orang yang menuntut ilmu. Kelebihan serang alim dibanding ahli ibadah seperti keutamaan rembulan pada malam purnama atas seluruh bintang. Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya maka ia telah mengambil bahagian yang banyak." (HR Abu Daud No: 3157) Status: Sahih

Pilihan

Search This Blog

UPSR
Sept 2020


PT3(Geografi)
Julai 2020


PT3(Sejarah)
Mei 2020


PT3(Lisan Tutur)
April 2020

PT3(Lisan BM)
Ogos 2020

PT3(Lisan BI)
Ogos 2020

Ujian Bertulis PT3
Okt 2020


SPM
Dis 2020